sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Friday 12 September 2014

#HAJI2014 : BILA SAYA TENGOK MUKA DI CERMIN , SAYA TAHU SAYA BUKAN ORANG ARAB





Beza haji dulu dan sekarang

SEMASA Kota Mekah dilanda banjir pada tahun 1965, Ahmad Kamil Abdul Rahman yang waktu itu berusia 14 tahun tinggal dengan keluarganya, jarak rumah mereka hanya kira-kira 30 meter dari Kaabah.

Kaabah sendiri banjir. Selepas pintu Babussalam - pintu afdal untuk masuk ke Masjidil Haram yang pada musim haji 1435H ini ditutup kerana kerja-kerja pembesaran masjid - hingga ke lapangan Saie, air naik ke paras leher. Hampir 20 hari umat Islam tidak dapat solat di sekeliling Baitullah.

Setelah 54 tahun berlalu, Ahmad Kamil, anak jati Tanah Liat, Bukit Mertajam ini mengimbau kisah yang membawanya menjadi pemastautin tetap di kota suci Al-Mukaramah hingga ke hari ini.

"Rumah nenek betul-betul di Babussalam, yang sekarang menjadi lapangan Saie (tempat Siti Hajar berlari-lari anak naik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah mencari air untuk anaknya, (Nabi) Ismail yang kehausan.

"Nenek moyang saya sudah berada di Mekah ini sejak 200 tahun lalu semasa rantau Arab di bawah pemerintahan zaman Uthmaniah lagi," katanya yang kini berusia 64 tahun kepada petugas media Tabung Haji di rumahnya di Al-Rusaifah, dua kilo­meter dari Masjidil Haram.

Perjalanan Ahmad Kamil ke kota Mekah kekal menjadi catatan hidup yang tidak akan dilupakannya. Dari era datuk hingga dua orang tuanya, membawa ke Ahmad Kamil adik beradik - kesemuanya menjadi pembantu kepada sheikh penduduk tempat­an atau kini dipanggil mutawif di Mekah dan Madinah. Kerjanya membawa seramai mungkin jemaah haji Malaya ke sana.

Pada 1959, dia yang baru berusia sembilan tahun, disertai adik lelaki, 8, dan pe­rempuan, 7, meninggalkan Pelabuhan Pulau Pinang untuk menaiki kapal laut bersama datuknya.

Tempat berlepas di Pelabuhan Pulau Pinang - kesan sejarahnya boleh dilihat di Lebuh Acheh, Georgetown - digunakan oleh jemaah haji dari utara Tanah Melayu, Sumatera dan selatan Thai sejak abad ke-18 untuk ke tanah suci.

Dengan menaiki kapal laut Hong Kong, Insun (sebelum Tabung Haji membeli kapal perang Bunga Raya untuk membawa jemaah), Ahmad Kamil mengharungi samudera raya selama 15 hari sebelum tiba di Jeddah. Bermacam-macam gelagat jemaah di atasnya. Ada yang mabuk laut. Kehidupan tak ubah macam di daratan. Bagi yang me­ninggal dunia, jenazahnya dibubuh besi lalu dilepaskan ke laut. Yang bertemu jodoh atas kapal sesama jemaah juga perkara biasa.

"Dulu, orang kita sebelum merdeka, hendak ke Mekah bawa keluar pasport Pattani, ada yang jual tanah, bergolok-gadai untuk ke tanah suci.

"Biasanya mereka akan tinggal di sekeliling masjid (Masjidil Haram) sebab sanggup bayar lebih berbanding jemaah negara lain, dengan tinggal beramai-ramai di beberapa buah rumah di situ. Tapi beberapa tahun kemudian, yang datang, mengadu kepada Tabung Haji tentang keadaan rumah. Cari tempat baru, jaraknya dah jauhlah," katanya.

Sesuatu yang ingin dikongsi Ahmad Kamil: "Ada tanggapan bersolat di ruang luar kawasan Saie bukan dalam kawasan masjid. Itu pendapat tidak betul. Bukankah kawasan Saie itu sudah berada dalam masjid kerana telah diperbesarkan. Takkan nak solat macam keadaan saiz masjid yang dulu."

Mengimbas pekerjaannya sebagai pembantu atau runner kepada sheikh (mutawif), Ahmad Kamil memberitahu: "Biasanya jemaah haji apabila tiba di Mekah akan membuat bayaran tertentu kepada sheikh di Mekah dan kemudian tiba di Madinah, bayar pada sheikh di sana pula."

"Bagi setiap jemaah, saya dibayar oleh sheikh sebanyak 100 riyal Arab Saudi seorang. Kalau pandai layan jemaah, lebih ramailah jemaah akan pergi kepada sheikh berkenaan. Biasanya seorang sheikh di bawahnya ada antara 200 hingga 300 jemaah," katanya.

Jemaah haji pada awal 60-an dan 70-an, kata beliau, ke tanah suci semata-mata untuk beribadat. Semangat ini begitu ke­tara. Berbeza dengan jemaah haji sekarang, kadang-kala kerana ada pilihan raya di Malaysia, mereka adakalanya leka, duduk tepi masjid hanya nak mendengar dan memperdebat hal-hal berkaitan pengundian.

"Ada sebilangan rakyat kita yang sebelum itu agak lama juga berada di Mekah sanggup cabut gambar jemaah dalam pasport dan tampal dengan gambarnya untuk kembali ke Malaysia.

"Ada sesetengah itu pula yang lahir di sini tidak boleh bercakap Melayu lagi," ceritanya.

Apabila era kapal laut berakhir digantikan kapal terbang untuk membawa jemaah ke Mekah pada 1970-an, Ahmad Kamil ada menawarkan rumahnya untuk disewa kepada satu pasangan suami isteri.

"Apabila dibawa melihat rumah di Mekah itu, dia kata…apa rumah buruk nak bagi saya sewa, saya ke sini naik kapal terbang tahu tak.

"Kemudian mereka sewa di hotel yang masa itu kadarnya 150 riyal semalam. Mungkin kerana mahal, esoknya pagi-pagi lagi mereka dah tiba di rumah sewa saya, yang kadarnya cuma 5 riyal," katanya sambil tersenyum.

Mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Bee Che Din, 50-an, kelahiran Ampang, Ahmad Kamil, 64, dikurniakan dua cahaya mata, seorang lelaki, Wahid, 20, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak dan Amirah, 16, kini belajar di sekolah harian Arab di Mekah.

Ditanya respons penduduk tempatan dan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah haji Malaysia, Ahmad Kamil secara berterus-terang mengakui; "Tabung Haji paling best."

"Kalau apa-apa terjadi kepada jemaah kita, pihak mereka akan cari Tabung Haji. Lagipun jemaah kita hidup teratur, tidak tidur tepi jalan atau buat benda tidak senonoh, tidak bawa bendera semasa kerja haji dan tinggal melebihi tempoh.

"Saya suka jemaah haji kita pergi de­ngan Tabung Haji," jelasnya.

Cuma Ahmad Kamil berpesan kepada rakyat Malaysia yang ke sini agar bergaul dengan penduduk setempat dan berkomunikasi dengan mereka agar dapat menguasai bahasa Arab.

"Sebilangan pelajar Malaysia saya te­ngok tidak mahu bercampur-gaul dengan warga tempatan. Nak masuk universiti di sini sebab nak ambil ijazah semata-mata, kemudian terus balik (ke Malaysia), macam mana nak belajar bahasa Arab," katanya.

Di ruang tamu di Al-Rusaifah semalam, kami petugas media dihidangkan dengan masakan Arab tulen oleh Sharifah Bee. Enak sekali dibasahi tekak dengan air berpudina.

Di atas meja, terpampang gambar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama Ahmad Kamil dalam satu majlis, selain gambar-gambar kunjungan orang kenamaan termasuk Tengku Mahkota Johor dan bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot ke rumahnya.

Masih berpegang kepada pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’, Ahmad Kamil ketika ditanya tentang jati dirinya sebagai orang Melayu menjawab:

"Anak saya fasih bercakap dalam bahasa Melayu, Arab dan Inggeris."

"Setiap kali saya tengok rupa saya dalam cermin, saya tahu saya bukan Arab."

- Zulkifli Jalil 
  Mekah 

#rencana ini pembaca boleh baca di Utusan Malaysia keluaran 12 September 2014

No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive