sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Saturday, 14 September 2013

#MEB !! UCAPAN PENUH PM DI MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA !! @NajibRazak



MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada perjuangan Melayu dan Bumiputera yang tiada pernah hentinya. 

Terlebih dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13... untuk terus menerajui kepimpinan negara. Apa yang lebih mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun tohmahan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh 5 tahun akan datang,.... demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Setelah selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.
Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan......, Yes... indeed!!!... we hear you... we hear you loud and clear.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Sejak negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963, Sabah dan Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia. Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua, kita akan menyambut genapnya lima puluh tahun, perayaan jubli emas Malaysia, yang InsyaAllah akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota Kinabalu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Menyonsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus penduduk. Orang Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.
Semasa Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua juga kira Melayu, malah muallaf bertakrif Melayu, waima.... Mamak dan Malabari pun....... dah serap ke Melayu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, 7.6 peratus bilangan daripada rakyat keseluruhannya.Unjuran terkini, setakat 2012, menganggarkan warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang, yang mana Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9 peratus.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b.
Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik-baik oleh semua pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020.
Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Tawarikh dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan pro-aktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
Jika dihimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB telah diperkenalkan pada tahun 1971, oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayahanda saya, untuk menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei 1969.
 
Begitulah Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Sejak merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi demi Melayu dan Bumiputera, antaranya, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR. Perdana Menteri Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkan Permodalan Nasional Berhad dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional. 

Seperti yang kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, yakni Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi. 

Selain itu, secara dasarnya, Model Baru Ekonomi memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan ataugrowth with equity, bagi mempastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara. 

Manakala, Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 yang lalu hingga 2015 nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini, adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus.
Apa yang ingin saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah amat penting, kerana, pertama, dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-Puan, 

Melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah meningkat. Misalnya, pendapatan purata bulanan isirumah Bumiputera telah naik daripada 172 ringgit pada tahun 1970an kepada 4,457 ringgit pada tahun 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam jangkamasa 42 tahun. 

Kadar kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012. Pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an kepada 23.5 peratus pada tahun 2011. 

Selain itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional, terutamanya golongan bertauliah seperti doktor-doktor perubatan, para jurutera dan para peguam sudah menghampiri peratusan komposisi kaum. 

Ini membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah awal telah berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. Jelasnya, sepanjang lebih 4 dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Namun begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang ketaksamaan pendapatan antara etnik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda. 

Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus.Effective control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada sekitar 10 peratus. Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro. 

Lantaran yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan....... atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini...., maka, .... pada hari ini........, Kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.
Perjumpaan penuh bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Masyarakat Bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya........ Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi utama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Fokus Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA

Seperti kita maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam dalam negeri dan luar negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan pasaran. 

Untuk tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan. 
 
Dalam aspek ini juga, program re-skilling akan dipergiatkan. Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan. Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif.
 
Kedua, kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia,Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah.
Ketiganya, bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi. 

Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera, Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Fokus Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT

Sehingga kini, had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru, bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham. 

Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Fokus Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA

Bumiputera masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial. Sebagai contoh, dalam tahun 2012, transaksi rumah kediaman yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan nilainya hampir 18 bilion ringgit atau 26 peratus.
Pada sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan secara teratur atau terbiar menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi rendah. Justeru, bagi mengoptimakan nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat. 

Peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutamanya di lokasi strategik di seluruh negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
Di samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat Bumiputera untuk memiliki rumah adalah rendah dan ditambah lagi dengan harga pasaran rumah yang semakin meningkat. Ke arah memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. 

Manakala menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan, bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera semakin meruncing. 

Lantaran itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkan untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar. 

Bersabit hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Fokus Pemerkasaan Keempat : MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA

Sebagaimana kita maklum, perniagaan dan keusahawanan merupakan aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Walau bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan tersebut masih rendah disebabkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi termasuk teknologi pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses kepada dana dan modal serta pasaran produk yang terhad. 
 
Dalam mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana pula, peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang menerima akan bertambah, termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300 juta ringgit untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu orang pada tahun 2015 kelak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Pada kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana tambahan sejumlah 700 juta ringgit kepada TEKUN Nasional. Bilangan usahawan TEKUN Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270 ribu pada tahun 2013, kepada 370 ribu pada tahun 2015.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Bagi menyahut keluhan usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses ke pasaran, maka, saya akan mengarahkan semua Kementerian dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah berasaskan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan mampan. 

Seiring dengan itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar. 

Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor tenaga, manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini juga, saya mahukan semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang dianugerahkan kepada vendor. Ini wajiblah dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kepada CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing. 

Sehubungan itu, suka saya kongsikan dalam sektor minyak dan gas antara sekarang sehingga tahun 2017, PETRONAS sedang dan akan menjalankan beberapa projek utama dalam sektor upstream dan downstream. Melalui projek-projek tersebut, kita merangkakan supaya syarikat-syarikat Bumiputera mendapat manfaat daripada kontrak yang bernilai 20 bilion ringgit setiap tahun untuk kerja-kerja perkhidmatan di sektorupstream dan downstream. 

Jangka hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya mengambil masa selama 25 tahun atau lebih. Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop kerja kritikal bakal diwujudkan dan dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang berpotensi dan mempunyai nilai tambah tinggi. Dalam konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.

Tuan-Tuan dan Puan-puan, 

Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi pemangkin bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya. Oleh itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS akan mengambil inisiatif untuk mengenalpasti secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera. 

Sebagai langkah untuk mempastikan peluang syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk bersaing pada masa hadapan pula, dasar Carve-outakan diperluaskan kepada projek-projek besar lain di bawah kementerian serta GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam projek MRT di mana sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit telah dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera terpilih secara meritokrasi. 

Sebagai contoh, empat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu mempunyai minat yang tinggi sertapassionate dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau. 

Untuk tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik dinamakan sebagai Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau ringkasnya SUPERB akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat start-up. Bagi tujuan itu, dana sebanyak 100 juta ringit akan diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun. 

SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga 500 ribu ringgit kepada entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar. 

Pemilihan entrepreneur-entrepreneur Bumiputera ini adalah berdasarkan merit dan akan dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur di kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru yang terpilih akan turut mendapat perkhidmatan mentoring daripada entrepreneur yang sudah berjaya tersebut.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Fokus Pemerkasaan Kelima : MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

Sebagaimana yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi. Oleh itu, bagi mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian akan diperkemas dan diperkejap untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif dan konstruktif.
 
Untuk itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.

PENUTUP

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Menjiwai kepentingan dan perjuangan Bumiputera, saya ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan.

Bahawasanya:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Wasiat ini sangat terang lagi bersuluh. Ia telah menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan Sarawak pabila Malaysia dibentuk 50 tahun yang lalu.
Kendatipun begitu, bagi pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak, agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Ladies and Gentlemen,

Certainly!... We are doing what is fair,... we are doing what is right..., and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain. 

Sayugia, yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana kekayaan baru. Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat diraih serta dirasai oleh semua golongan sebagai rakyat Malaysia secara adil dan saksama. 

Bahkan, kerukunan kita telah diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai negara paling stabil dan aman di dunia..............., Begitulah istimewa dan uniknya Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Pucuk pangkalnya, hendak saya pertegaskan bahawa kita adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira apa jua latar belakang samada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam. 

Kita juga tidak seperti sesetengah pelaku politik, yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerun dan memesongkan pemikiran rakyat. 
 
Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiar dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam.... Barang dijauhkan oleh Allah jua.....

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Sebagai mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan kita berhimpun di sini bukan untuk saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk suka-suka......... Seperti slogan yang popular, UiTM Dihatiku.... makanya, Universiti Teknologi MARA ini sangat dekat di hati kita, sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cukup membanggakan. 

Bahkan....., masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada Perhimpunan Agung tahun 2005........., saya telah mengumumkan supaya enrolmen pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang tahun 2015. Kini,...... Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang. 

Pagi ini pula........., saya ingin mengumumkan hasrat peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baru di seluruh negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Demi Melayu......, Demi Bumiputera........, Saya ingin mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah 1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentukMatching Fund nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Kita juga sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang tinggi kepada TERAJU bagi menakhoda agenda pembangunan Bumiputera. Kini, untuk membestarikan lagi TERAJU, sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah saya sendiri sebagai Perdana Menteri, dengan diketuai oleh seorang Menteri atau seorang Ketua Pegawai Eksekutif bertaraf Menteri. 

Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU. Begitulah juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru saya wujudkan tadi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Sebagai payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuahcouncil yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan. Keahliannya pula bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang releven akan diundang. Majlis yang penting ini, akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari itu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini....., kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana,...... selagi ada bulan dan bintang,.......... selagi hayat dikandung badan,............. survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila. 

Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.

HIDUP MELAYU........ HIDUP BUMIPUTERA........ HIDUP MALAYSIA.......

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah najib, but make sure you implement it not just a window dressing, less talking and prove it, also take care of your brother remind him he's malay not a chinese, we all melayu dah fade up dengan janji2, slogan2 dan "bounching" contoh bagi BRIM naik harga petrol

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive