sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Saturday 22 March 2014

#MH370 : DARI PERANG DUNIA KE MH370 , JPAM TETAP KOMITED #PRAYFORMH370



Usia Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bakal mencecah 62 tahun pada 24 Mac ini, namun kehadiran pasukan ini tidak begitu disedari oleh masyarakat berikutan kurangnya publisiti mengenainya.

Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa pasukan, yang ditubuhkan sejak Perang Dunia Kedua ini, berfungsi sebagai satu badan berkecuali yang melaksanakan tugas-tugas menyelamat nyawa dan harta benda secara sistematik tatkala negara dilanda bencana.

Jabatan ini juga adalah satu daripada tiga jabatan yang diamanahkan menjaga keamanan negara, sebarisan dengan pasukan tentera dan polis.

Dan bagi mencapai hasrat itu jabatan akan mengadakan majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada anggotanya bersempena sambutan ulang tahun ke-62 JPAM Isnin ini di Pusat Pertahanan Awam Negara (PUSPAN) di Seremban, Negeri Sembilan.

"Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke majlis ini sebagai satu cara mempromosi kelebihan menjadi sukarelawan JPAM. Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti pertunjukan dan demonstrasi serta pameran tentang aktiviti pertahanan awam", kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Timbalan Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Selamat Dahalan kepada Bernama.

Hari ini JPAM memainkan fungsinya sesuai dengan keadaan semasa. Waktu negara berada dalam keadaan aman, ia memainkan peranan mengambil apa-apa langkah bagi melindungi nyawa dan harta benda sebelum, sewaktu dan selepas berlakunya sesuatu bencana di dalam negara, jelas Selamat.

Jika negara berada dalam keadaan perang, tugas JPAM ialah mengambil langkah yang tidak melibatkan penggunaan senjata sebelum, semasa dan selepas serangan musuh.


SEJARAH RINGKAS

Sejarah aktiviti pertahanan awam di Malaysia telah melangkau tempoh 70 tahun, dibentuk oleh British dikenali sebagai ‘Passive Defence’ pada tahun 1939, sebagai persiapan menghadapi Perang Dunia Kedua.

Selepas penubuhannya secara rasmi pada 24 Mac, 1952, JPAM melalui pelbagai bentuk perkembangan, dan menjadi komponen penting dalam pertahanan negara terutamanya pada waktu-waktu sukar.

Prestasi cemerlang pasukan ‘Passive Defence’ telah membuatkan pihak pemerintah British menggubal ‘The Civil Defence Ordinance’ pada tahun 1951 sebagai satu undang-undang dalam sistem keselamatan di Tanah Melayu ketika itu.

Berikutan peristiwa kemerdekaan negara, ordinan ini telah menjadi Akta Pertahanan Awam 1951.

Peranan JPAM turut diiktiraf sebagai unsur tetap pertahanan negara seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan peristiwa konfrantasi Indonesia ke atas Malaysia, JPAM melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak. Peristiwa ini juga telah menambahkan keanggotaan JPAM sehingga 36,000 anggota dengan 37 cawangan di seluruh negara.


PENGLIBATAN JPAM

Banjir besar yang melanda hampir seluruh negara pada 1970 telah membawa kepada peristiwa kerahan tenaga besar-besaran. Pada 1972 skop tugas JPAM ditambah dengan memasukkan perkhidmatan bantuan bencana.

"Bantuan kepada mangsa banjir sudah menjadi ‘acara tahunan’ kami. Kalau dahulu kami tunggu banjir berlaku baru bertindak, sekarang sebelum banjir pun kita sudah siap siaga di kawasan potensi banjir", jelas Selamat.

Sejak itu, JPAM telah terlibat secara aktif dalam pelbagai peristiwa bencana dalam negara. Antara yang masih segar di ingatan rakyat ialah tragedi kondominium Highland Towers tumbang pada 1993, Ops Daulat di Lahat Datu pada tahun lepas dan yang terkini, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Mengenai penglibatan JPAM dalam krisis MH370, Selamat berkata pihak JPAM mengambil tiga tindakan iaitu menyediakan pasukan khas siap sedia untuk misi menyelamat, rondaan pantai dan petugas yang menguruskan keluarga mangsa di hotel tempat mereka menginap.


SUKARELAWAN SEDIA BERKHIDMAT

Berbeza dengan pasukan tentera atau polis dan sesuai dengan nama ‘pertahanan awam’, tulang belakang pasukan JPAM ialah anggota masyarakat yang mahu memberi khidmat secara sukarela.

"Kerja kami lebih bersifat memberi bantuan kemanusiaan, tidak kira siapa pun mangsa kepada sesuatu tragedi tanpa mengira latar belakang, warna kulit, bangsa atau agama.

Hari ini, keanggotaan JPAM telah dibahagikan kepada beberapa jenis, melibatkan kira-kira 1.3 juta orang daripada pelbagai peringkat umur.

Jumlah terkini Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) ialah 750,630 orang.

Daripada jumlah ini, 11,800 orang berada dalam keadaan siap siaga dan sedia berkhidmat dalam masa sejam selepas mendapat arahan.

Penyertaan JPAM juga dibuka kepada mahasiswa universiti. Sebanyak 37 universiti dari seluruh negara mempunyai pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA)dengan keanggotaan keseluruhan seramai 4,678 mahasiswa.

"Pasukan ini biasa kami libatkan dalam operasi khidmat bakti selepas kejadian bencana. Contohnya operasi mencuci rumah dan pengurusan sumbangan kepada mangsa banjir. Ini kerana kami tidak mahu libatkan mereka dalam operasi sebelum atau semasa bencana atas faktor risiko yang tinggi", jelas Selamat.

Kadet Pertahanan Awam (KAPA), program JPAM di peringkat sekolah menengah juga berjaya menarik penyertaan 50, 474 pelajar dari seluruh negara.

JPAM turut melaksanakan program pendidikan dan kesedaran kepada pelajar sekolah dan tadika melalui Program Awalan Kesedaran Keselamatan Pertahanan Awam(PROKSPA) yang telah melatih 104,437 pelajar.

"Ada juga pihak yang menyertai program-program JPAM atas kapasiti organisasi dan jumlah organisasi yang berdaftar dengan program ‘Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) kami ialah 61", kata Selamat.


MENGINGATI HERO LAHAD DATU

"Keadaan kelam-kabut waktu itu. Pertempuran baru bermula. Penduduk laribertempiaran. Kami tahu sesuatu perlu dilakukan segera, kami buka pusat perlindungan sejak hari pertama krisis bermula", cerita Selamat, mengenang peristiwa hitam negara di Lahad Datu.

Empat pusat perlindungan, memuatkan 4,000 penduduk dibuka sepanjang krisis berlaku. Segala keperluan mangsa daripada keperluan harian hingga makan minum diuruskan JPAM.

Secara keseluruhan, 350 petugas JPAM terlibat dalam misi ini dan bagi menghargai mereka diadakan majlis penganugerahan itu melibatkan 30 penerima terakhir. - Bernama


No comments:

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive