sahabat-sahabat APJ

t.kasih sahabat-sahabat,jom follow

Friday 28 March 2014

HOT NEWS : KENYATAAN PENUH PERDANA MENTERI DI FILIPINA



Berikut teks ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) penuh bersejarah, yang beliau saksikan di Manila hari ini:

"Tuan Yang Terutama Benigno S Aquino III, Presiden Filipina

Tuan Yang Terutama Al Haj Murad Ebrahim, Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)

Puan Yang Terutama Teresita Quintos Deles, Penasihat Presiden mengenai Proses Damai.

Yang Berhormat Menteri-menteri

Pengerusi Panel Perdamaian Filipina/Pengerusi Panel Perdamaian MILF

Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Hari ini, kita menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro. Ia merupakan perjanjian damai yang mengambil masa beberapa dekad untuk menjadi kenyataan.

Dengan menandatangani perjanjian ini, kedua-dua pihak tidak lagi melihat kepada masalah masa lalu, tetapi apa yang dijanjikan pada masa akan datang. Setelah bertahun-tahun wujudnya konflik, dan banyak jiwa yang menjadi korban, ini merupakan suatu detik yang lahir daripada keberanian. Dan ia akan mengubah sejarah negara mereka untuk selama-lamanya.

Dengan menyertai proses damai ini, Barisan Pembebasan Islam Moro telah membalas kembali kepercayaan yang diberi kepadanya oleh rakyat. Melalui rundingan yang diadakan dengan penuh keikhlasan, Kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Kedua-dua pihak telah berkorban agar rakyat di selatan Filipina dapat menjalani kehidupan secara bebas, bebas daripada keganasan yang telah memisahkan banyak keluarga. Bebas daripada penderitaan yang disebabkan oleh konflik selama beberapa dekad. Bebas daripada ketakutan.

Dalam lembaran perjanjian ini, kita melihat janji untuk masa depan yang lebih cerah.

Masa depan apabila bilik darjah akan dipenuhi ketawa riang, bukan lagi bunyi tembakan. Apabila pemuda memerangi kemiskinan, bukan sesama sendiri. Apabila rakyat berganding bahu membina konsensus dan identiti baharu: Bangsamoro.

Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas bertahun-tahun, tiada jalan pintas dan mudah untuk mencapainya. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dan akan terdapat halangan yang menantinya. Bagaimanapun, komitmen terhadap keamanan – komitmen yang saya nampak terdapat di dalam dewan ini – tidak boleh sekali-kali menjadi goyah. Kita perlu cekal dan tabah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kedua-dua pihak telah meninggalkan konflik sebelum ini di belakang mereka, tetapi kita perlu perkuatkan diri kita untuk menghadapi cabaran baharu. Setelah berakhirnya konflik, maka kerja sukar untuk mewujudkan pembangunan pun bermula. Kita perlu beri makna baharu kepada kehidupan yang pernah dilanda keganasan.

Peperangan selama beberapa dekad telah merampas daripada satu generasi penjagaan kesihatan, pendidikan, pendapatan. Perdamaian bukan sahaja sepatutnya membawa kemakmuran, tetapi juga peluang. Hanya dengan itu, masa depan Bangsamoro akan terjamin.

Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa Malaysia akan terus membantu untuk mewujudkan pembangunan. Kami sedia menolong membina institusi, memperkemaskan pendidikan, menambah baik bidang pertanian. Janji terus kekal, selagi ia diperlukan. Malaysia akan tetap menjadi rakan bagi keamanan.

Keyakinan kami terhadap kerjasama merentasi sempadan diperkukuhkan lagi oleh tragedi yang berlaku. Kehilangan 239 orang yang menggunakan Penerbangan MH370 adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Malaysia berterima kasih atas sokongan yang diberi oleh rakan-rakan dan jiran kami, termasuk Filipina, dalam usaha mencari yang hingga kini masih diteruskan. Dalam waktu yang menyulitkan ini, kami mendapat kekuatan daripada respons penuh ihsan yang diterima daripada negara sahabat kami.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Perjanjian ini memberi jaminan terhadap hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina. Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerja seiring dengan Kerajaan Filipina dan MILF untuk memastikan kejayaannya.

Komitmen terhadap perdamaian ini terikat kukuh. Ia mesti dipenuhi dan dilindungi. Semua pihak perlu berpegang pada semangat dan kandungan perjanjian ini. Kita perlu berusaha untuk memastikan wujudnya rasa hormat terhadap agama dan menghayati prinsip tidak melakukan keganasan. Kita perlu lindungi hak asasi manusia, menjunjung tinggi keluhuran undang-undang dan mengamalkan kesederhanaan.

Hanya dengan penyelesaian yang dicapai melalui rundingan, perdamaian berkekalan akan dapat dinikmati. Dan hanya tadbir urus yang baik boleh memastikan tercapainya cita-cita yang semua kita kongsi bersama: Bangsamoro yang kuat dan makmur.

Saya yakin Kerajaan Filipina akan terus bekerjasama dengan Barisan Pembebasan Islam Moro untuk menyediakan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro. Sokongan semua pihak adalah amat diperlukan sekiranya kita mahu melihat ia diluluskan Kongres Filipina dan dalam pungutan suara yang diadakan di Bangsamoro.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya ingin memberi penghormatan khas kepada Presiden Aquino kerana komitmen padu beliau terhadap keamanan di selatan Filipina.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Al Haj Murad Ebrahim, Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro kerana kepimpinan kukuh beliau dalam proses damai ini.

Penghargaan paling tinggi kami ditujukan kepada para perunding utama dan pasukan perunding mereka, terutama Prof Miriam Coronel-Ferrer dan Tuan Mohagher Iqbal, serta sumbangan penting Tengku Dato’ Ab Ghafar Tengku Mohamed, pemudah cara dari Malaysia.

Saya juga ingin memberi penghargaan kepada semua pihak dalam Kumpulan Hubungan Antarabangsa - para wakil dari Jepun, Arab Saudi, Turki dan United Kingdom; dan para wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa daripada Centre of Humanitarian Dialogue, Conciliation Resources, Muhammadiyah dan Asia Foundation, serta pemerhati daripada Pertubuhan Kerjasama Islam.

Tidak ketinggalan juga, saya mengucapkan terima kasih kepada kontinjen Malaysia, kontinjen Pasukan Pemantau Antarabangsa, yang telah menyumbang kepada keamanan berkekalan di Selatan Filipina. Malaysia berbangga kerana dapat memainkan peranannya dalam proses ini. Apa yang kami harapkan hanyalah keamanan dan kemakmuran akan dapat dinikmati saudara kami – di Bangsamoro dan di Filipina.

Proses damai ini telah mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan yang wujud antara negara kita. Sambil kita mengharapkan masa depan yang lebih cerah untuk Bangsamoro, saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya. Kami akan meneruskan peranan kami sebagai Pemudah Cara Pihak Ketiga dan akan terus bekerja melalui Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan memberi penghormatan terhadap usaha luar biasa yang dilaksanakan hingga membolehkan perjanjian ini ditandatangani.

Sepanjang perjalanan proses damai ini, kedua-dua pihak telah berusaha dengan sedaya upaya mereka agar rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen daripada keamanan yang tidak terkira banyaknya. Semoga mereka akan berusaha, belajar dan bangun kembali.

Empat puluh tahun lepas, kegelapan melanda Mindanao. Dalam perjuangan yang memakan masa selama satu generasi, 150,000 nyawa menjadi korban

Hari ini, kita berpaling ke arah cahaya. Hari ini menjadi milik Filipina dan Bangsamoro.

Terima kasih.

- Bernama

1 comment:

Anonymous said...

SYUKUR ALHAMDULILLAH di atas usaha murni YAB PM DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak kita ini! Semoga BUMIPUTERA ISLAM Filipina, saudara kita tidak lagi dibunuh dgn. kejam di Mindanao itu, akibat ketamakan si PENDATANG KAPIR RASIS Cina Filipina dan sekutu mereka dr. Barat-ZIONIS! Dan dpt. menjadikan Mindanao, yg. kaya minyak-gas ini, ini spt. Acheh (yg. juga kaya), negeri Islam yg. kuat!

Makcik Sambal Belacan – PERTAHAN Islam dan umatnya, Raja-Raja Melayu/PM-TPM/UMNO/Bahasa Melayu, hak BUMIPUTERA Melayu dan BUMIPUTERA lain; dan hak orang miskin dari semua bangsa yang hormat Islam, dan bangsa dan hak Bumiputera (Bumiputera juga bermakna Pribumi/Orang Asal-Asli/Indigenous/Native/Aboriginal/First Nation)

POSTING PALING HOT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive